08 Januari 2014

Kerjasama Tentera Darat, Udara Naik Taraf Nuri

08 Januari 2014


Sikorsky S-61 Nuri (photo : Goh Weiyang)

KUALA LUMPUR  - Program naik taraf kesemua helikopter Nuri yang dijangka dilaksanakan sebelum tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berakhir 2015 nanti akan dilakukan dengan kerjasama Tentera Darat (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui laman sosial Twitternya, bagi memastikan Nuri yang cukup berjasa kepada negara selamat serta memenuhi keperluan pertahanan semasa.

"TDM dan TUDM akan bekerjasama naik taraf helikopter Nuri," katanya sebagaimana dipetik melalui Twitternya hari ini iaitu dua minggu selepas sebuah pesawat Nuri mendarat cemas di Pulau Perak, dekat Kedah, 23 Disember lalu.

Nuri yang digunakan Tentera Udara sejak 40 tahun lalu perlu dinaik taraf bagi membolehkan aset tersebut kekal signifikan dengan doktrin pertahanan negara terutama selepas kemasukan helikopter moden jenis Eurocopter EC 725.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesemua baki 30 pesawat Nuri yang masih beroperasi akan dinaik taraf.

Kata Ahmad Zahid, proses naik taraf itu akan dilakukan firma selenggara pertahanan tempatan melibatkan penggantian sistem paparan digital, kotak gear termaju dan bilah kipas utama yang dijangka menelan kos RM500 juta.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan, berikutan kekangan peruntukan, dipercayai hanya 15 buah Nuri paling 'muda' sahaja yang akan dinaik taraf dan kemungkinan program tersebut tidak akan melibatkan penukaran bilah kipas utama.

(Utusan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar